Tuesday, February 24, 2015

Harimau Malaya tiada penyerang


Musim baru Liga Malaysia (Liga-M) sudah bermula namun keluhan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh tetap sama - masalah pemain penyerang.

Berikutan tempoh kurang sebulan sebelum beliau memanggil pemain bagi sesi latihan pusat pertama tahun ini menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Oman pada 26 Mac, masih belum ada penyerang tempatan yang benar-benar memikat hatinya.

Masalah dihadapi Dollah bukan susah dibaca kerana selepas tiga perlawanan Liga Super, penyerang tempatan terus tenggelam dengan kehebatan pemain import yang menjadi pilihan jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.

“Kita sudah kenal pasti beberapa pemain tapi belum muktamad, masih ada ruang untuk saya melihat aksi pemain dalam Liga Super. Kita mungkin ada masalah di bahagian serangan, itu agak rumit sikit, sebab itu kemungkinan besar seorang atau dua pemain Harimau Muda dari bahagian serangan akan diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan bas daripada Bank Rakyat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Penyerang skuad Harimau Malaya ketika muncul naib juara Piala AFF tahun lalu, Mohd Safee Sali, Mohd Amri Yahyah dan Abdul Manaf Mamat, belum menemui sentuhan melainkan Norshahrul Idlan Talaha yang menyumbat satu gol untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) minggu lalu.

Ketika penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dramane Traore mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Super dengan empat gol diikuti penjaring terbanyak musim lalu Paulo Rangel yang kini bersama Terengganu dengan tiga gol, hanya pemain tengah FELDA United Ahmad Syamim Yahya dan Nurridzuan Abu Hassan (Perak) sedikit menyerlah dengan ledakan dua gol.

Apa yang boleh dibanggakan prestasi Shafiq Shaharuddin dari Johor Darul Ta’zim II apabila menyumbat lima gol dalam kempen Liga Perdana setakat ini namun penyerang berusia 20 tahun itu tidak pernah menyarung jersi Harimau Malaya.

Namun bukan mustahil untuk pemain itu mendapat tempat kerana Dollah sedia memanggil mana-mana pemain yang menyerlah termasuk penyerang Harimau Muda B S Kumaahran yang membantu skuad bawah 22 tahun menjuarai Piala Emas Bangabandhu awal bulan ini.

“Kalau ikut nama memang pemain daripada skuad Piala AFF ramai tapi berpandu kepada prestasi, kalau tak menyerlah macam mana saya nak panggil.

“Saya rasa perlawanan dengan Oman pada 26 Mac ini di sana sudah disahkan. Kalau ikut jadual saya akan panggil pemain pada 23 Mac dan tempoh itu agak singkat jadi saya berharap tarikh perlawanan Piala FA boleh dianjakkan supaya dapat memanggil pemain lebih awal,” katanya.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget