Monday, August 11, 2014

Apabila Encik Dollah bersuara...

Apabila Encik Dollah bersuara... Kita dengar, kita redha sebab dialah jurulatih pasukan Harimau Tua kita.. Usahakan yang terbaik ya Encik Dollah. lagi satu, yang mana tak boleh pakai tue, tolong buang ya.. aku nampak ngarut ja pakai diorang nie. Elaun mahal-mahal, baik bagi budak yang tengah naik permainan mereka...

KUALA LUMPUR - Harimau Malaya perlu segera melupakan mimpi ngeri yang dihadapi mereka selepas dibelasah 4-1 oleh Tajikistan dalam aksi persahabatan di Stadium Respublikanskiy M.V. Frunze, Dushanbe kelmarin bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi aksi seterusnya.
Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berkata, berdasarkan perlawanan tersebut beliau mendapati masih banyak perkara yang perlu diperbaiki bagi memastikan pasukan negara mampu bersaing dengan mantap.
"Setelah meneliti persembahan para pemain saya mendapati masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki.
"Saya hanya mempunyai masa lima hari sahaja untuk menghadapi perlawanan tersebut dan sudah pasti bukan mudah untuk saya melakukan sesuatu dalam masa yang singkat.
"Dalam perlawanan itu, saya lihat pemain susah mahu bernafas kerana cuaca di negara ini yang kering manakala dari segi tahap kecergasan saya lihat mereka hanya mempamerkan aksi 70 peratus sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Dushanbe semalam.
Tambahnya, dia akan menggunakan Piala Malaysia sebagai platform untuk memilih pemain yang akan membarisi skuad Harimau Malaya kelak.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan menggunakan Piala Malaysia sebagai medan untuk membuat pemilihan jadi saya akan jelajah ke seluruh negeri untuk memerhatikan pemain yang terbaik untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
"Bagaimanapun, dalam masa yang sama saya turut menjadikan perlawanan persahabatan yang diadakan ini untuk menilai prestasi para pemain yang saya rasakan layak dikekalkan di dalam skuad kebangsaan," katanya.
Dalam aksi tersebut pasukan negara ketinggalan pada minit ke-15 menerusi Dargon Ergashev sebelum Khurshed Makhmudov menambah dua gol pada minit ke 35 dan 51 dan Davranov menghasilkan gol keempat pada minit ke-53.
Perlawanan persahabatan skuad negara seterusnya ialah menentang Jordan pada 11 Oktober ini.
Sementara itu, bagi bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, tewas 4-1 merupakan keputusan yang mengejutkan buat peminat bola sepak tempatan namun skuad kebangsaan perlu menjadikannya sebagai sumber rujukan bagi perlawanan seterusnya.
"Jadikan perlawanan tersebut sebagai wake up call untuk pasukan kebangsaan kerana melalui keputusan yang diperoleh masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi oleh skuad negara.
"Tujuan utama perlawanan persahabatan diadakan bukan semata-mata untuk memperbaharui ranking namun kita dapat melihat kelemahan yang dihadapi oleh pasukan dan sebagai jurulatih adalah menjadi kewajipan terhadap dirinya untuk memperbaiki punca kegagalan tersebut.
"Tidak wajar untuk kita mengkritik skuad kendalian Dollah Salleh kerana dia baru sahaja mengambil alih tugas tersebut dan perlu diingatkan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bukan satu perkara yang mudah," katanya.
Perlawanan persahabatan itu ialah sebahagian daripada proses persediaan skuad negara yang mempunyai 103 hari lagi sebelum bersaing dalam Kejohanan AFF.
Dalam kejohanan yang bermula 22 November depan itu, Harimau Malaya diletakkan di dalam Kumpulan B bersama penyandang gelaran yang juga juara empat kali, Singapura serta juara tiga kali, Thailand.

Recent Comments Widget