Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Datuk Taufek Abdul Razak ketika dihubungi semalam memberitahu, kedua-dua pemain dari Argentina itu akan hadir ke Wisma FAM untuk membela diri setelah mengaku tidak bersalah berhubung insiden yang didakwa berlaku semasa perlawanan Pahang dan JDT di Stadium Darul Makmur, 7 Februari lalu.
Jika didapati bersalah, Aimar yang merupakan bekas pemain antarabangsa Argentina dan Figueroa, bekas pemain River Plate, boleh digantung perlawanan dan didenda.
"Fokus utama dalam persidangan Jawatankuasa Tatatertib esok adalah terhadap kes yang melibatkan dua pemain JDT, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa dengan pemain Pahang, Damion Stewart.
"Mereka berdua mengaku tidak bersalah dan mahu membela diri atas tuduhan yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib. Pengadu iaitu Damion serta wakil Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga akan hadir di Wisma FAM esok (hari ini).
"Kami akan cuba muktamadkan kes ini esok, ada kemungkinan kami akan bincang hingga petang jika keadaan memerlukan kerana banyak lagi kes-kes lain yang menunggu (untuk dibicarakan) selepas ini.
"Namun, semuanya bergantung kepada kehadiran jurubahasa kepada Aimar dan Figueiroa, kami harap dia dapat datang esok (hari ini), jika tidak, kita tidak boleh teruskan dan terpaksa menggantikan kes yang lain," katanya
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140321/su_02/Aimar-Figueroa-dibicara-hari-ini#ixzz2wYprNivi
© Utusan Melayu (M) Bhd